Bagi seorang pesara tentera, Abdul Hamid Yunos, kejayaan menggenggam segulung ijazah pada usia 74 tahun adalah suatu yang
amat membanggakan.
amat membanggakan.
Sementelah lagi ijazah itu membuktikan kejayaan beliau menguasai cabaran terbesar iaitu perbezaan sistem pendidikan dulu dan sekarang termasuk penggunaan bahasa Inggeris yang meluas.
"Saya kurang mahir dalam bahasa Melayu dan Inggeris...banyak yang sudah berubah, tambahan pula saya tidak pernah belajar bahasa Inggeris, jadi saya perlu bertungkus lumus mempelajarinya bagi memudahkan pembelajaran," katanya di sini hari ini.
Abdul Hamid yang ditemui selepas majlis konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM), berkata beliau juga tidak mempunyai masalah bergaul dengan golongan muda sepanjang tiga tahun di universiti itu.
Kejayaan menggenggam Ijazah Sarjana Muda Ilmu Kemanusiaan hari ini turut membakar semangat bapa kepada dua anak dan datuk kepada lima cucu itu untuk meneruskan pengajian sehingga ke akhir hayat.
Saya berhasrat menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Malaya, katanya.
Sementara itu, seorang lagi graduan 'orang lama' Abdul Banit Abdul Karim, 56, berkata beliau merancang untuk menyambung pengajian peringkat sarjana dan doktor falsafah sebelum berusia 60 tahun.
Beliau yang menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan juga bersyukur kerana berjaya melalui tempoh pengajian selama empat tahun tanpa banyak masalah.
"Saya mahu berkongsi kegembiraan ini bersama-sama keluarga walaupun sebelum ini terpaksa menguruskan masa untuk belajar, namun akhirnya berjaya menamatkan pengajian selepas empat tahun," kata Pengurus Sumber Manusia Penang Port Sdn Bhd itu.
Pada sidang kelima hari ini seramai 588 graduan menerima ijazah masing-masing daripada Pro Canselor USM Tan Sri Dr M. Jegathesan
_BERNAMA, 23 Sepetember 2011
0 comments
Post a Comment